Tentang

Hai, aku Helmi.

Ini blog peribadi aku. Ceritanya bermula dengan domain lama, MSS pada Ogos 2026 dan satu sebab yang agak mudah: aku bosan, dan aku tak nak otak jadi pasif. Haha.

Helmi

Aku dah lama memiliki domain dzulhelmi.com ni. Tapi selama bertahun-tahun, aku cuma guna domain ni untuk personal email. Tak ada blog, tak ada website yang aktif. Domain ada, cuma aku tak buat apa-apa dengannya.

Sampailah Ogos 2026, bila aku terkena MSS (Mutual Separation Scheme).

Tiba-tiba aku ada lebih banyak masa lapang daripada biasa. Mula-mula okay juga, tapi lama-lama bosan.

Jadi aku fikir, daripada biarkan masa berlalu macam tu je, baik aku buat sesuatu. Lagipun domain dah ada, hosting boleh setup, WordPress pun bukan benda asing bagi aku.

Tapi sebab utama aku hidupkan website ni sebenarnya mudah. Aku bosan. Dan aku tak nak otak aku jadi pasif. Haha.

Aku nak terus membaca, belajar, mencuba benda baharu dan menulis tentang apa yang aku jumpa. Kalau ada orang lain yang dapat manfaat daripada apa yang aku tulis, lagi bagus.

Jadi lahir semula dzulhelmi.com sebagai blog peribadi aku.

Dari dunia IT ke WordPress

Latar belakang aku sebenarnya dalam IT. Dari 2003 sampai 2020, kebanyakan kerja aku berkisar dalam bidang teknologi maklumat. Aku pernah bekerja sebagai System Analyst, Web Developer, CMS Manager, E-commerce Manager dan IT Manager.

Dalam tempoh tu jugalah aku mula mengenali WordPress. Aku terjumpa WordPress pada 2003, ketika ia masih sebuah projek open source yang baru muncul daripada b2/cafelog. Masa tu aku memang suka mencuba macam-macam sistem untuk membina website.

Antara CMS yang pernah aku cuba termasuk Mambo (yang kemudiannya melahirkan Joomla), PHP-Nuke, Drupal dan XOOPS. Tapi entah kenapa, aku tetap kembali kepada WordPress.

Aku mula menggunakannya dengan lebih serius sejak versi 1.5. Dari situlah aku makin tertarik dengan dunia open source, cara komuniti membangunkan software, dan kebebasan untuk mengubah sesuatu sistem mengikut keperluan sendiri.

Lama-kelamaan, WordPress juga menjadi salah satu sebab minat aku beralih daripada kerja IT yang umum kepada kerja yang lebih tertumpu pada web dan website.

Macam mana aku boleh masuk dunia marketing pula?

Bermula sekitar 2020, kerjaya aku perlahan-lahan beralih ke digital marketing, khususnya Marketing Operations (MarOps) dan Marketing Technology (MarTech). Peralihan tu bukanlah sesuatu yang aku rancang dari awal.

Aku mula perasan banyak syarikat semakin meletakkan tanggungjawab mengurus website di bawah jabatan Marketing, bukan lagi IT seperti dulu. Bila bekerja dengan website dalam konteks marketing, skop kerja pun jadi lebih luas. Bukan sekadar bina page atau pastikan website berfungsi.

Ada CRM, marketing automation, tracking, analytics, email marketing, lead management dan macam-macam sistem yang perlu berhubung antara satu sama lain. Dan kebanyakan tools ni memang berasaskan web.

Jadi pengalaman aku dengan website selama bertahun-tahun secara tak langsung membuka jalan untuk aku masuk ke dunia MarOps dan MarTech.

Sepanjang perjalanan ni, aku juga memperoleh pensijilan Adobe Certified Professional - Marketo Engage Business Practitioner, HubSpot Marketing Hub Software Certified, Salesforce Certified Marketing Cloud Engagement Foundations, Salesforce Certified Platform Foundations, Salesforce Certified AI Associate, Google Digital Marketing & E-commerce Professional Certificate, AWS Certified Cloud Practitioner dan Advanced Google Analytics.

Jadi, blog ni pasal apa sebenarnya?

Macam-macam, selagi ada kaitan dengan benda yang menarik perhatian aku. Mungkin hari ni aku tulis pasal AI. Esok pasal isu keselamatan siber. Minggu depan mungkin tentang aplikasi yang aku baru jumpa, sesuatu yang berlaku di internet, atau teknologi yang membuatkan aku tertanya-tanya.

WordPress dan MarTech tetap akan muncul sekali-sekala. Dua-dua dah lama menjadi sebahagian daripada hidup dan kerjaya aku. Tapi aku tak nak hadkan blog ni kepada dua topik tu sahaja.

Aku juga tak merancang nak jadikan dzulhelmi.com sebagai portal berita atau website tutorial semata-mata. Ini tempat aku mencatat apa yang aku baca, apa yang aku belajar, apa yang aku cuba dan kadang-kadang apa yang aku fikirkan tentang sesuatu perkara.

Aku tulis dalam Bahasa Melayu sebab itulah bahasa yang paling selesa untuk aku bercerita. Tak semestinya setiap tulisan ada jawapan. Kadang-kadang aku sendiri masih cuba memahami sesuatu topik.

Selain teknologi…

Aku juga suka kopi, mengikuti bola sepak dan bermain Fantasy Premier League (FPL), walaupun kadang-kadang FPL ni lebih banyak bagi sakit hati daripada hiburan. Kalau kau pun main FPL, jom join liga aku kat FPL Malaya. Lagi ramai, lagi meriah persaingan!

Dan sekarang aku ada satu lagi benda untuk dibuat bila ada masa lapang, iaitu mengurus blog ni.

Kalau kau dah baca sampai sini, terima kasih sebab sudi nak kenal siapa yang menulis di dzulhelmi.com.

Kalau ada soalan, cadangan topik, atau nak tegur sesuatu yang aku tulis, boleh singgah ke halaman Hubungi.

Jumpa dalam catatan seterusnya. Mungkin sebelum kopi aku sejuk.

Untuk yang baru nak mula

Nak Belajar WordPress?

Aku ajar dari zero.